Thursday, February 26, 2015

SENGKETA PERANG SAUDARA ETNIK KENYAH


Berdasarkan sejarah telah membuktikan bahawa etnik Kenyah dahulunya adalah antara etnik yang mendiami Dataran Tinggi Usun Apau sekitar tahun 1400 sehingga 1700 Masihi. Apabila berlakunya perpecahan antara etnik Kenyah lalu ianya telah terbahagi kepada beberapa kelompok yang kecil seperti Kenyah baden, Kayan, Lepo’ Tau, Lepo Maut, Uma Bakah, Lepo Kulit, Kenyah Sambob, Penan dan sebagainya. Walaupun mereka telah dibahagikan kepada kumpulan yang kecil namun begitu mengikut warisan dan tradisinya tiada perbezaan sama sekali kecuali bahasa yang dipertuturkan.
Pola penghijrahan secara skala besar sebenarnya banyak berlaku ketika 1800an yang mana ketika itu mana-mana yang menyokong Brooke telah memulakan penghijrahan di kawasan Baram manakala yang ingkar tetap ingin mendiami Usun Apau. Ini menyebabkan mana-mana yang enggan menerima pemerintahan Brooke telah diserang di Usun Apau dengan menggunakan taktik peperangan antara etnik iaitu etnik-etnik dayak yang “diupah” oleh pemerintahan Brooke di bumi Sarawak itu sendiri.
Sejarah juga membuktikan bahawa etnik Kenyah sebenar sejak dari dahulu lagi sememangnya antara etnik yang gemar untuk berperang dan akibat peperangan itu, etnik Kenyah juga mempunyai sengketa dengan etnik-etnik yang lain seperti Iban malah juga sub-etnik Kenyah sendiri di Usun Apau. Perang Ngayau yang dijalankan ke atas etnik-etnik yang lain di Usun Apau telah membuatkan mereka berperang sesama sendiri dan ada juga etnik-etnik ini yang memohon bantuan Brooke untuk menghadapi perang.
Apabila Brooke mula mencampuri urusan di Usun Apau maka ramailah masyarakat Kenyah yang melarikan diri ke sempadan Kalimantan iaitu di Apo Kayan. Namun begitu apabila konfrantasi Malaysia-Indonesia iaitu Ganyang Malaysia pada tahun 1960an, ramai etnik Kenyah yang berpindah semula ke kawasan Belaga, Bintulu dan Baram untuk berlindung. Penghijrahan semula mereka inilah yang menyebabkan ramai etnik Kenyah membuka penempatan baru seperti di Hulu Batang Baram, Balui, Tinjar dan Hulu Batang Rajang.
Jika di Usun Apau etnik-etnik Kenyah berperang sesama sendiri akibat daripada “upahan” daripada pemerintahan Brooke namun apabila mereka telah memulakan penghijrahan ke bumi Sarawak semula juga telah wujud sengketa antara etnik itu sendiri. Kaum Kenyah yang berasal dari Balungan, Kalimatan menuju ke Baram dan menetap di Long Sebatu, Long Akah, Long Ulai, Long Bulukun, Long Tikan, Long Julan, Long Patah, Long Kiput dan Long Pasong. Tidak lama kemudian beberapa kumpulan Kenyah dari Bukit Burak pula berhijrah ke Sarawak. Mereka membuka beberapa buah penempatan baru. Antaranya, kawasan Lepu Ka'ang, Lepu Gak, Lepu Tau, Lepu Agak, Lepu Badang, Lepu Jamoh, Lepu Lotong, Lepu Leikan, Lepu Ngorek, Lepu Malang dan Lepu Lelak yang terletak di Lembah Baram dan Lembah Tinjar.
Apabila kedua-dua kumpulan Kenyah ini telah menetap di kawasan tersebut, orang Kayan pula berhijrah ke Baram. Mereka menetap di Uma Semukak, Uma Lelia, Uma Bawang, Uma Pako, Uma Belun dan Uma Apo. Tetapi mereka tidak berani mendiami Uma Pawa kerana kawasan itu sudah didiami oleh Kenyah. Orang Kenyah yang mendiami Long Sebatu, Long Ulai dan Long Belukon selalu bekerjasama. Tetapi ada kalanya mereka berselisih faham. Walaupun begitu, mereka tidak berpindah dari ketiga-tiga tempat yang diduduki sebelum ini.
Berikutan beberapa perselisihan faham sesama kaum, peperangan berlaku di antara penduduk Kenyah Long dengan Kenyah Lepu. Kenyah Lepu tewas lalu berundur ke Apo Kayan. Malangnya di tempat baru ini, mereka menjadi mangsa serangan orang Kenyah Indonesia dan orang Kayan yang mendesak supaya mereka meninggalkan kawasan itu.
Akhirnya, mereka pulang ke Lepu di Baram. Hubungan di antara orang Kayan dan masyarakat Kenyah di Baram dengan penghuni Kayan dan Kenyah di Rajang selalu tegang. Ini disebabkan Ketua Kayan dan Kenyah di Rajang pada masa itu, tidak mengizinkan saudara mara mereka dari Baram tinggal di kawasan itu. Untuk membalas dendam, orang Kayan dan Kenyah di Baram tidak mahu membantu orang Kayan dan Kenyah di Rajang semasa mereka diserang oleh masyarakat Iban.
Berikutan peristiwa tersebut, satu perjumpaan diadakan di antara ketua setiap kumpulan. Perjumpaan ini diadakan di Belaga. Dalam perjumpaan ini, Penghulu Peso dan Hang Ngipa menceritakan masalah nenek moyang mereka dahulu. Menurut ketua-ketua yang lain, zaman itu sudah berlalu dan tidak perlu dipersoalkan lagi. Walau bagaimanapun, penghijrahan ke Baram tetap tidak diperlukan kerana mereka tidak lagi hidup secara berpindah-randah seperti dahulu. Lagipun mereka tidak lagi bermusuhan dengan orang Iban.
Pada akhir perjumpaan itu, kata putus dicapai untuk menjadikan Hulu Baram, Rajang dan Tubau di Bintulu sebagai kawasan bebas bagi orang Kayan, Kenyah dan suku bukit yang lain. Mereka juga bersetuju jika berlaku sebarang penghijrahan pada masa akan datang, ketua kaum dan pihak kerajaan tidak perlu masuk campur. Akhirnya mereka membentuk beberapa kumpulan dan meninggalkan Ulu Bahau. Akibat penghijrahan itu, ada orang Kenyah yang menetap di hilir Lembah Baram dan di Lembah Rajang di Sarawak.
Sementara itu, beberapa buah kumpulan lagi berhijrah ke kawasan hilir Ewan atau Sungai Iwan melalui Apo Kayan. Pada waktu itu, seluruh Apo Kayan dikuasai oleh suku Leppo Timai. Ketua mereka bernama Lakek Langat. Dia sangat zalim dan akibatnya dia diserang oleh Pa Surang @ Laing Anye, iaitu ketua orang Kenyah yang baru berpindah ke kawasan itu.
Dalam serangan itu, Lakek Langat tewas dan dia menyerah Apo Kayan kepada orang Kenyah. Setelah Pa Surang berjaya mengambil alih, dia menyerang ketua-ketua Kayan yang lain pula. Dengan itu, orang Kayan terpaksa berpindah. Ada yang pergi ke Kota Tanjong, Kota Mahakam di Indonesia, Lembah Rajang dan Lembah Baram di Sarawak. Selepas berjaya menjatuhkan orang Kayan, orang Kenyah mula bersengketa sesama mereka.
Ketika itu, etnik Kenyah, Bakong telah tewas dan terpaksa menyerah kepada ketua Kenyah di Leppo Tau. Tidak lama selepas Bakong menyerah kepada Leppo Tau, Kenyah Leppo Timai Tampong bangkit dan menyerang ketua besar yang bernama Pa Jalong Ipoi. Serangan itu dibuat kerana Pa Jalong Ipoi telah menangkap dan menghambakan ramai orang Kenyah dari Leppo Tau.
Setelah beberapa lama berperang, Pa Jalong Ipoi berjaya dikalahkan. Dia menyerah kepada Pa Surang dan terpaksa meninggalkan Bawang Balin. Dia pergi ke Alur Tampang, anak Sungai Mahakam dan menetap di sana. Berikutan keamanan yang dicapai oleh penduduk Apo Kayan, Pa Bilong Lusat, ketua Leppo Bam perga menemui Sultan Samarinda di Tengarong. Setelah sampai di istana, dia menceritakan kejayaan Pa Surang mengamankan Apo Kayan.
Apabila mendengar berita itu, Sultan Samarinda berasa gembira lalu berkenan untuk menganugerahkan lembing dan pakaian seragam kepada Pa Surang. Baginda juga melantik Pa Surang menjadi ketua besar kepada semua ketua Kenyah. Pa Bilong Lusat pun membawa pulang anugerah itu dan menyerahkannya kepada Pa Surang. Bagaimanapun, Pa Surang enggan menerimanya dengan alasan dia tidak cukup handal untuk menyandang jawatan tersebut. Pada masa yang sama, dia belum menerima persetujuan daripada semua ketua Kenyah.
Pa Surang kemudiannya mengarah Pa Bilong Lusat menyerahkan anugerah tersebut kepada ketua yang lain. Malangnya ketua-ketua yang lain juga tidak mahu menerima anugerah itu. Antaranya, Pa Lusat Imang Dari Bakong, Bok Bulan dari Leppo Kulit, Ampat Lusat Bilong dari Leppo Jalaten dan Peng Laing dan Leppoa Tepu. Akhirnya, satu perjumpaan diadakan di antara semua ketua Kenyah untuk memilih ketua besar yang dikenali sebagai Paran Bio.
Di penghujung perjumpaan, mereka sepakat memilih Pa Surang dari Leppo Tau sebagai Paran Bio. Pa Surang terpaksa bersetuju dan menjalankan tugasnya dengan adil dan cekap. Sepanjang tempoh pentadbirannya Pa Suran sebagai Paran inilah barulah tiada lagi sengketa antara etnik Kenyah yang terjadi dan mungkin ada beberapa masalah kecil atau salah faham tetapi tidaklah membawa kepada kemelut peperangan di antara etnik Kenyah di Sarawak suatu waktu dahulu.
Inilah sekelumit informasi tentang satu sejarah sengketa dan perang saudara antara etnik Kenyah yang pernah terjadi di bumi Sarawak suatu waktu dahulu dan bagaimana ianya mampu diredakan dengan perlantikan Pa Suran seorang pemimpin etnik Kenyah yang tersohor. Mungkin ramai bangsa Sarawak amnya dan anak Kenyah sendiri tidak mengetahui sejarah ini dan ketahuilah ia sebagai memahami jati diri kita sebagai anak Sarawak, Bangsa Sarawak.


 BY BORNEO ORACLE